Khamis, 3 November 2011

BULETIN : PRS GALAK PERKONGSIAN MAKLUMAT DAN MASALAH

Rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat terhadap remaja, justeru dalam mencari identiti mereka banyak bergantung pada rakan sebaya untuk mendapat panduan hidup dan memandu mereka ke arah yang diingini.

Jika rakan sebaya yang digauli itu mempunyai pengaruh negatif maka tidak mustahil remaja terbabit akan terikut sama. Justeru, penubuhan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di sekolah-sekolah dilihat sebagai usaha membantu menangani masalah tersebut. 


 Penolong Pengarah Kanan, Bidang Bimbingan dan Kaunseling Murid, Unit Hal Ehwal Murid, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor (JPNS), Khairuddin Mohd Amin berkata, objektif PRS ialah untuk membantu sekolah dan pelajar-pelajarnya membentuk keperibadian yang baik.

Pada masa sama, ia juga membentuk ‘kemenjadian’ murid dari segi akademik dan sahsiah diri - menyumbang ke arah kecemerlangan sekolah.


“PRS menjadi pembimbing utama kepada rakan sebaya lain dan secara tidak langsung, sebagai ‘role model’ kepada pelajar lain dalam membantu mereka menyelesaikan kesulitan dari aspek pembentukan sahsiah diri, pencapaian akademik dan kerjaya,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

   
Beliau berkata, PRS mula diperkenalkan secara formal pada 1987 setelah projek perintis dijalankan di empat sekolah di Petaling Jaya dan Wilayah Persekutuan.


Menurutnya, hasil projek itu dibentangkan pada seminar pertama PRS - Januari 1987. Peserta sebulat suara bersetuju menggunakan nama PRS yang berpayung di bawah Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah.


KEMAHIRAN PERHUBUNGAN ANTARA MANUSIA


 Setiap ahli PRS dilatih mengikut modul yang terancang dalam bidang asas komunikasi dan kaunseling.


 Tujuannya bukan untuk menjadikan mereka kaunselor, tetapi lebih kepada membekalkan dengan kemahiran penting dalam perhubungan manusia,” katanya.


Khairuddin berkata, PRS dilatih untuk mengalami proses memahami, memotivasikan dan menghormati diri sebelum mereka dapat membantu dan membimbing rakan-rakan.


Nilai-nilai murni seperti toleransi, hormat-menghormati, menyimpan rahsia, bersikap positif dan sikap sentiasa memajukan diri menjadi prinsip kepada program ini.


“Disebabkan peranan PRS besar, maka pihak sekolah di bawah Unit Bimbingan dan Kaunseling menjalankan proses temu duga dalam memilih ahli PRS manakala guru kaunseling pula diberi tugas melatih mereka dengan lengkap sebelum diiktiraf sebagai PRS,” katanya.

Beliau berkata, setiap sekolah di bawah Unit Bimbingan dan Kaunseling, sama ada menengah atau rendah wajib mewujudkan PRS.

“PRS memang diwajibkan di sekolah menengah manakala bagi sekolah rendah pula ia masih lagi dalam proses pelaksanaan sepenuhnya,” katanya.


Ketika menjawab persoalan mengapa perlunya PRS melibatkan penyertaan murid sekolah rendah dan adakah masalah murid sekolah rendah sama teruk dengan sekolah menengah, Khairuddin menjelaskan, konsep PRS bukanlah melihat aspek masalah, sebaliknya kemahiran yang perlu ada pada PRS itu.

“Selaras dengan moto ‘Bantu Diri Untuk Bantu Orang Lain’, konsep PRS bukanlah menyelesaikan masalah, sebaliknya lebih kepada membantu pelajar lain. Mereka yang menyelesaikan masalah tersebut juga dalam kalangan pelajar itu sendiri.


“PRS tidak menjalankan sesi kaunseling, sebaliknya membantu rakan sebaya untuk melakukan perubahan-perubahan tingkah laku dengan kemahiran yang diberi kepadanya,” katanya.

Sesi kaunseling hanya dijalankan oleh guru kaunseling ataupun mereka yang mempunyai kepakaran diiktiraf oleh badan kaunseling.

Menurutnya, bilangan pelajar yang mengikuti PRS adalah ramai, cuma ia perlu disuburkan semula supaya mendapat tempat dalam kalangan pelajar.



“PRS sepatutnya mendapat tempat sama seperti Majlis Pengawas dan sebagainya, malah ia lebih tinggi kerana membantu rakan yang menghadapi kesulitan.


“PRS adalah satu kerja sukarelawan oleh murid yang ingin membantu rakan sebayanya menghadapi kesulitan melalui kemahiran yang telah dilatih oleh guru kaunseling,” katanya.

Khairuddin berkata, statistik jelas menunjukkan perkembangan positif dalam penglibatan pelajar terhadap PRS tidak kira di peringkat sekolah menengah atau rendah.


PANTAU PRS


“Pada 2010, seramai 9,287 murid sekolah rendah dan 14,144 pelajar sekolah menengah terlibat dalam PRS dengan penyertaan terdiri daripada individu pelbagai bangsa,” katanya.

Menurutnya, untuk menarik minat pelajar menjadi ahli PRS, setiap sekolah akan mengiktiraf mereka di samping menyediakan modul latihan dari semasa ke semasa untuk menampilkan PRS agar mendapat tempat di hati pelajar.


“Walaupun ada beberapa modul yang perlu diikuti, namun itu tidak bermakna mereka tidak boleh dilantik sebagai PRS, cuma pelantikan akan dikuti dengan modul-modul latihan dari semasa ke semasa demi untuk menarik minat pelajar-pelajar lain,” katanya.


Beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau aktiviti PRS di sekolah-sekolah bagi memastikan tahap kewajarannya sentiasa seiring dengan perkembangan semasa.


Menurutnya, JPNS meletakkan aspek pelaksanaan program PRS dalam instrumen pemantauan sebagai langkah meningkatkan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling.


“Jika pihak sekolah tidak melaksanakan kaedah yang telah ditetapkan oleh JPNS, mereka akan diminta untuk membuat surat tunjuk sebab dalam masa 14 hari," katanya.


Khairuddin berkata, JPNS sentiasa meletakkan PRS sebagai bidang yang perlu dijalankan di sekolah, terutamanya sekolah menengah.



Tiada ulasan: